Latar belakang Mohamad_bin_Hasan

Beliau dilahirkan di Kampung Kundur Hilir, Rembau, Negeri Sembilan, pada 2 Mei 1956.

Pendidikan

Mohamad menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Datuk Akhir Zaman, Rantau, dan menyambungkan pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau. Selepas menyelesaikan pendidikan menengah, beliau terus ke Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Ampuan Durah, Seremban, dan kemudian melanjutkan pendidikan tinggi di Universiti Malaya pada tahun 1976.

Kerjaya awal

Beliau memulakan kerjayanya sebagai Pelatih Bank Negara Malaysia, termasuk Penolong Pengurus di Malayan Banking Berhad, dan Pengurus di Arab Malaysian Merchant Bank Berhad. Mohamad kemudiannya berpindah kerjaya ke Bank Bumiputra Malaysia Berhad, dan pernah bertugas sebagai Pengurus Besar Bank Bumiputra London (1988-1992). Selepas berkecimpung dalam dunia perbankan, beliau berpindah ke sektor korporat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Cold Storage Malaysia Berhad (1992-1994). Jawatan terakhirnya di sektor korporat ialah sebagai Pengarah Urusan Cycle and Carriage Bintang Berhad (1994-2004).

Selain daripada itu, Mohamad juga pernah memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah di Khazanah Nasional Berhad, dan juga sebagai Pengerusi Kumpulan FIMA Berhad, serta Ahli Lembaga Pengarah Sepang International Circuit (SIC).